23 September 2007

Kesukarelawanan dalam masyarakat industri

0 comments

Dalam masyarakat industri dan paid economy, kerja sukarela berkembang dengan pesat sekali. Ini disebabkan masyarakat tersebut mempunyai satu sumber yang penting iaitu sumber kewangan dan masa. Ini merupakan salah satu faedah kepada masyarakat apabila ekonomi berkembang baik. Pengurangan beban yang yang ditanggung oleh masyarakat membolehkan mereka melibatkan diri dalam kerja sukarela.

Walaupun begitu, terdapat satu lagi masalah dalam masyarakat industri yang memberi faedah kepada kesukarelawanan iaitu pencarian spiritual dan jati diri masyarakatnya. Untuk itu, masyarakatnya melibatkan diri dalam kerja kebajikan dan kesukarelawanan. Kerja sukarela menyediakan peluang kepada mereka untuk mengenali diri sendiri disamping mengenali diri orang lain.

Pada masa dahulu, kerja tolong-menolong sangat rapat dan berkaitan dengan pembangunan komuniti. Ia merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka, saling membantu pertanian, keselamatan dan sosialisasi. Dalam Islam, ia berpusat kepada membantu golongan miskin, jiran dan saudara mara. Ia berkembang selaras dengan perkembangan masyarakat dan negara.

Kerja sukarela dalam masyarakat industri biasanya adalah tentang:

1. kerja kebajikan iaitu membuat kerja yang baik untuk orang lain. Sesetengan oran percaya bahawa membuat perkara baik akan dibalas dengan perkara yang baik juga. Selain itu, kerja kebajikan seperti ini akan menjadikan seseorang itu lebih baik disamping membantu golongan yang memerlukan.

2. memenuhi ruang yang tidak dapat dipenuhi oleh sektor lain. Kerajaan tidak mampu untuk membantu dalam semua hal. Sementara sumber yang terhad dari segi tenaga dan kewangan membolehkan sukarelawan memenuhi ruang tersebut.

3. tanggungjawab untuk membantu orang yang memerlukannya. Kesukarelawanan juga membantu membangunkan negara-bangsa. Ia dianggap sebagai pengorbanan setiap warganegara untuk membangunkan masyarakat dan negara. Kita biasa melihat situasi sebegini semasa peperangan dan bantuan kecemasan.

4. pergerakan sosial yang melibatkan ahli masyarakat dalam isu-isu keadilan, moral, sosialisasi, keamanan, alam sekitar, persamaan hak dan sebagainya. Kerja sukarela membentuk masyarakat yang dinamik – yang sentiasa berubah kearah yang lebih baik. Penglibatan ahli masyarakat dan menyelesaikan masalah masyarakat turut membentuk wargenagara yang bertanggungjawab.

5. penglibatan golongan remaja-belia. Golongan muda yang sentiasa mencari keseronokan menjadikan kerja sukarela sebagai aktiviti alternatif untuk mengisi masa lapang. Ia juga merupakan sebahagian daripada persediaan untuk melangkah ke alam dewasa. Mungkin juga kerja sukarela merupakan salah satu penyelesaian kepada penglibatan golongan muda dalam jenayah dan masalah social.

Masyarakat industri yang berkembang dari segi kemodenan dan ekonomi membolehkan ahli masyarakat melibatkan diri dalam kerja sukarela. Dan, masalah yang wujud dalam masyarakat industri juga menggalakkan ahlinya untuk bersukarela. Ini berlaku apabila mereka merasakan sektor-sektor terlibat gagal atau tidak mampu untuk melakukan perubahan.

Masalah seperti alam sekitar dan gejala sosial menyebabkan ahli masyarakat melibatkan diri untuk membantu menyelesaikannya. Semakin banyak masalah yang timbul, semakin ramai yang ingin membantu. Ini merupakan perkara yang baik untuk kerja sukarela dan baik juga untuk pembangunan masyarakat dan negara. Masyarakat yang semakin moden mewujudkan masalah baru dan akan ada sukarelawan baru yang muncul.

Walaupun sesetengah pihak berpendapat bahawa kerja sukarela merupakan pilihan kepada sesiapa yang ingin melibatkan diri, ada pula pihak lain berpendapat bahawa kerja sukarela merupakan satu tanggungjawab setiap warganegara. Ini kerana, setiap orang yang memerlukan bantuan, berhak untuk mendapatkan bantuan. Mengharapkan pihak kerajaan untuk menyediakan semuanya bukanlah jalan penyelesaian tetapi penglibatan dan bantuan dari setiap ahli masyarakat merupakan jalan yang terbaik.

Di negara kita organisasi sukarela diletakkan dalam sektor ketiga dan sering dikaitkan dengan kerja kebajikan tetapi sumbangannya terhadap mayarakat dan negara tidak perlu dipertikaikan. Pun begitu, kerja sukarela masih dianggap kerja sampingan yang hanya dibuat mengikut kelapangan atau secara bermusim. Ini menyebabkan kerja sukarela itu lambat untuk berkembang seiring dengan perkembangan pesat kemodenan negara.

What next?

You can also bookmark this post using your favorite bookmarking service:

Related Posts by Categories



Recipe : Soup And Stew